Loading...
SEINGAT aku, ketika dalam tahun lima sekolah rendah lagi, Tok Kemah sudah pun lanjut usianya. Pada ketika itu aku mengagak usianya sudah melebihi 80 tahun. Tok Kemah dikenali sebagai bidan kampung. Dia juga pandai mengurut.
Tubuh Tok Kemah agak kurus. Kepalanya sudah banyak dipenuhi rambut putih. Dia selalu memakai baju kurung Kedah dan berkelubung kain lepas barat. Wanita tua itu masih bertenaga. Menurut Ibu, apa yang dia tahu rumah Tok Kemah di Kampung Cenerung.
Namun begitu, dia tidak pernah kenal rumah wanita tua itu. Ibu tak pernah mengunjunginya. Jarak tempat ibu tinggal dengan rumah Tok Kemah jauh, melebihi tiga batu.
Aku masih ingat, Tok Kemah memang akrab dengan ibu. Rumah ibu antara yang sering dikunjungi. Perbezaan usia antara Tok Kemah dengan ibu hampir sekali ganda. Nama ibu ialah Kalsom. Tapi Tok Kemah hanya memanggil Som sahaja. Pada ketika itu kami hanya berdua bersama ibu. Aku dan kakak, Tini.
Ayah tidak tinggal bersama. Dia bekerja di sebuah pusat lombong bijih dan hanya balik sekali sebulan atau lebih.
Mungkin disebabkan ibu selalu pandai menjaga hatinya, ditambah pula ayah tidak tinggal bersama, Tok Kemah selesa berkunjung dan berada di rumah kami. Wanita tua itu yakin dan percaya kepada ibu. Mirip muka Tok Kemah agak kemerahan. Dua biji matanya cerah, bersinar semacam kaca. Pada pengamatanku, Tok Kemah seorang yang cantik pada ketika mudanya dulu. Atau pun, dia seorang gadis yang menjadi idaman ramai pemuda berhidung belang pada usia remajanya..
Sebenarnya, aku sendiri jarang menentang mata Tok Kemah. Kalau dia berada di rumah ibu, aku sekadar mencuri pandang. Aku sering rimas dan merasai sesuatu yang kurang selesa pada setiap kali bertembung mata dengan wanita tua itu. Renungan mata dia tajam.
Aku merasai sesuatu keganjilan pada tenungan matanya.
Ke mana saja Tok Kemah pergi, pasti ada beg rotan yang sudah lusuh dan buruk. Ada banyak barang di dalam beg tersebut. Antaranya termasuklah botol-botol minyak urut, makjun dan beberapa jenis akar kayu yang dikatakan boleh dijadikan ubat untuk menyembuh pelbagai penyakit.
sekadar hiasan
Biasanya, dia keluar meninggalkan rumah pada awal pagi, sementara pulang pula tidak menentu. Ada kalanya dia tidak balik beberapa hari. Jarang pula yang mengenalinya tahu ke mana dia pergi ketika tiada di rumah. Peliknya, Tok Kemah tidak pernah bersungut takut atau bimbang berjalan seorang diri ketika pulang ke rumah sekalipun pada waktu senja atau malam yang gelap.
Tok Kemah pernah memaklumkan kepada ibu bahawa rumah yang diduduki berdekatan hutan di pinggir sebuah anak sungai. Sepanjang jalan menghala ke rumahnya dipenuhi semak.
Sementara di pertengahan jalan, ada pula kawasan perkuburan lama. Orang lain jarang melalui kawasan perkuburan itu, sekalipun pada siang hari, tapi tidak pada Tok Kemah. Sesetengah yang tahu turut hairan keberanian wanita tua itu melalui kawasan tersebut seorang diri termasuk waktu tengah malam.
Sebelum sampai ke rumah, Tok Kemah melalui titian kayu sepanjang kira-kira 30 kaki merentasi anak sungai tersebut. Dia melalui titian itu pada setiap kali sama ada dari rumah atau pun ketika pulang. Kawasan itu sepi dan lengang. Hanya Tok Kemah yang melalui titian tersebut.
Waktu malam, Tok Kemah menggunakan pelita di rumahnya. Di pangkalan tidak jauh dari titian yang dilaluinya itu dia mandi dan mendapatkan bekalan air sekadar sebaldi yang mampu dibimbitnya.
âAnuar tanya sekadar nak tahu saja, Macam mana dia berjalan pada waktu yang gelap tu, bu aku bersuara lagi.
"Entahlah, jawab ibu pendek. Serentak itu dia menyuruh aku mengangkat kayu api dan membawa naik melalui pintu dapur. Sementara Kak Tini pula sedang menyidai pakaian yang dibasuh di tali pada beranda rumah.
Ketika mengangkat kayu api, aku terkenang pada masa-masa yang telah lalu, ibu jarang sekali menceritakan hal Tok Kemah. Kalau ada yang aku bersuara tentang wanita tua itu, ibu cepat-cepat melarang.
âKau masih budak-budak. Jangan ambil tahu hal orang tua. Tok Kemah marah kalau tahu kau selalu tanya hal dia,â kata ibu. Sejenak itu aku terdiam, tapi kepalaku berfikir apa ibu tahu mengenai Tok Kemah.
Suatu pagi kira-kira seminggu selepas itu Tok Kemah datang lagi ke rumah ibu. Seperti selalu, ibu beri Tok Kemah minum. Tengah hari, wanita tua itu makan tengah hari di rumah. Ketika berehat, ibu memaklum kepada Tok Kemah bahawa minggu depan dia akan berkunjung ke tempat ayah beberapa hari.
Ibu meminta Tok Kemah jenguk-jenguk kami sepanjang dia meninggalkan rumah dan berada di tempat ayah.
âTok datanglah tengok budak-budak semasa saya tiada,â kata ibu kepada wanita tua itu ketika berehat di beranda rumah. Aku dan Kak Tini di ruang tengah hanya mendengar perbualan mereka.
Kalau dengar apa-apa di bawah rumah, cakap kepada budak-budak tu buat tak tahu saja, jangan buka pintuâ tambah Tok Kemah lagi. Ibu sekadar terdiam. Bagaimanapun, aku dan Kak Tini masing-masing berpandangan. Kami tergamam dengan pesanan wanita tua itu.
Dalam kepala, aku tertanya-tanya apa muslihat antara ibu dan Tok Kemah. Berdasarkan apa yang dipesan, aku kira ibu sudah faham dan mengerti apa yang dimaksudkan oleh wanita tua itu. Namun begitu, aku dan Kak Tini tak berani bertanya kepada ibu. Dia selalu marah jika kami mengungkit atau bercakap mengenai Tok Kemah.
Apa kelebihan yang ada pada Tok Kemah?Tanya dalam kepala ku. Sementara Kak Tini di depan sedang melipat beberapa helai pakaian.
Sepanjang peninggalan ibu ke tempat ayah, setiap petang sebelum maghrib aku atau Kak Tini sudah menutup pintu. Kami patuh dan ambil berat pesanan Tok Kemah.
Kak dengar tak apa yang bunyi di bawah rumah sebentar tadi,aku bertanya Kak Tini pada suatu malam selepas azan Isyak.
Hemm Kak dengar... mungkin ada kambing di bawah rumah,â Aku sekadar mengangguk mendengar bisikan Kak Tini. Namun begitu, dalam hati aku merungut, jika betul kambing mengapa haiwan itu tidak mengembek.
âKalau kambing, kenapa tak mengembek?â aku berbisik kepada Kak Tini.
Sejak ibu ke tempat ayah, boleh dikatakan setiap malam ada saja terdengar sesuatu. Di bawah atau di sekeliling rumah. Selepas memadam pelita, kami terkejut apabila melihat ada cahaya di bawah rumah. Pancaran cahaya itu kadang-kadang beralih ke beberapa tempat. Aku dan Kak Tini cemas. Disebabkan rasa takut, kami sekadar berdiam diri sepanjang malam.
âSepanjang ketiadaan ibu, kami mendengar sesuatu dari bawah rumah. Boleh dikatakan setiap malam,beritahu Kak Tini kepada ibu sebaik sahaja tiba balik ke rumah.
âKau ada nampak apa-apa?, tanya ibu.
Tidak, tapi Tini sangka mungkin kambing, bu, jawab Kak Tini.
Sudah lebih seminggu ibu balik, tapi Tok Kemah belum datang lagi ke rumah. Ibu tidak tahu ke mana wanita tua itu menghilang. Kebiasaannya, dua tiga kali dalam seminggu dia datang, tapi kini sudah lama tak dengar sebarang berita. Sudah beberapa orang yang biasa dengan Tok Kemah ditanya ibu ke mana wanita tua itu pergi. Namun, mereka tidak ketahui. Ibu turut dimaklumkan yang rumah mereka juga tidak dikunjungi Tok Kemah. Ibu risau memikirkan Tok Kemah.
Selepas waktu asar petang itu, ibu dikunjungi Mak Wan Bedah yang tinggal kira-kira setengah batu jauhnya dari rumah ibu. Rumah Mak Wan Bedah antara yang pernah dikunjungi Tok kemah sebelum ini. Mak Wan Bedah yang kematian suami sejak lebih lima tahun lalu tinggal bersama anak lelaki, Samad, 22 tahun yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai di pekan.
Ke mana orang tua ni menghilang diri?, sungut Mak Wan Bedah.
Som pun tak tahu Mak Wan, kata ibu dengan nada yang bimbang.
Semalam Samad terserempak dengan Pak Belang ketika dia pulang dari pekan, beritahu Mak Wan Bedah.
Di mana, tanya ibu tergamam.
âDi hujung beranda rumah. Samad melihat ketika dia membuka pintu nak masuk ke dalam. Binatang itu mencangkung sambil memerhati Samad jelas Mak Wan Bedah.
Aku fikir binatang itu adalah âanak nyangâ Tok Kemah. Dia datang untuk mencari tuannya yang tidak tahu pergi ke mana, katanya kepada ibu.
Tok Kemah tak beritahu ke?, tanya ibu seperti cemas..
âAku agak-agak macam tu lah, tambahnya lagi.
Dua hari selepas itu, Samad mendapat tahu sebuah bas dari Kampung Buluh ke pekan itu tidak dapat meneruskan perjalanan beberapa lama disebabkan dihalang oleh sekumpulan tujuh ekor harimau di Kampung Guntung. Sekumpulan harimau dipercayai tujuh beranak itu dikatakan keluar dari semak berdekatan dan terus merentangi jalan secara berderet-deret seolah-olah menyekat bas terbabit.
berdegil
Selepas menutup pintu bas, pemandunya beberapa kali membunyikan hon minta binatang itu meninggalkan kawasan tersebut. Bagaimanapun, haiwan itu semacam berdegil tidak mahu beredar. Pemandu bas bersama kira-kira 20 penumpang cemas apabila mendapati kumpulan binatang tersebut enggan beredar dan terus berada di situ.
Dalam keadaan yang tidak menentu itu, tiba-tiba bangun seorang wanita tua dari tempat duduk dalam bas berkenaan. Dia melangkah mara ke depan. Pemandu bas terdiam. Semua penumpang tergamam. Sesetengahnya berpandangan anatara satu dengan yang lain.
Sebaik turun, wanita itu melangkah mara ke depan. Langkahnya biasa saja. Dia sedar banyak mata di dalam bas itu sedang menumpu dan memerhati kepada dirinya. Pemandu dan penumpang di dalam bas semakin tergamam apabila melihat kumpulan tujuh ekor hariamu itu bangun seolah-olah menyambut kedatangan wanita tua yang semakin dekat itu.
Wanita itu menghampiri harimau yang paling besar sambil berbisik sesuatu. Binatang itu membuka mulut dan menggerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Tangan kanan wanita itu turut mengusap bahagian atas kepala binatang tersebut. Lepas itu, dia mengusap pula atas kepala harimau yang kedua besarnya. Begitulah gelagat yang dilakukan kepada lima ekor harimau lagi yang dipercayai anak-anak kepada pasangan binatang tersebut.
Orang tua tu menjamah kepala harimau. Binatang tu baik dengan dia,â terdengar beberapa penumpang berbisik-bisik antara satu dengan yang lain. Sementara pemandu pula terpegun dengan kedua-dua matanya terkedip-kedip. Dia tak mampu lagi untuk bersuara. Tidak lama selepas itu kumpulan harimau tersebut menghilang ke dalam semak sambil diperhati oleh wanita tua itu. Tangannya turut melambai-lambai ke arah kumpulan binatang tersebut.
Selepas bas bergerak, pemandu cuba mengerling ke kawasan semak di mana kumpulan harimau itu menghilang sebentar tadi. Bagaimanapun, binatang tersebut tidak kelihatan lagi. Sesekali dia mencuri pandang muka wanita tua itu melalui cermin kecil di depannya. Seram untuk memerhatinya agak lama. Benaknya masih terbayang tujuh ekor harimau yang berbaris tidak jauh dari depan bas sebentar tadi.
Di pekan, kisah tujuh ekor harimau menghalang bas tersebar dan menjadi perbualan ramai. Bagi mereka yang mengenali Tok Kemah, peristiwa yang berlaku itu tidak menghairankan. Ibu dan Mak Wan Bedah awal-awal lagi sudah mengsyaki bahawa tujuh ekor harimau yang menghalang bas itu adalah anak nyang peliharaan Tok Kemah.
Tok Kemah sendiri turut menceritakan kepada ibu bahawa anak nyangnya menyekat bas sekadar nak tahu sama ada dia berada di dalam kenderaan itu atau pun sebaliknya. Dia terlupa untuk memberitahu kepada anak-anak peliharaannya itu mengenai pemergian ke Kampung Buluh tempoh hari.
Disebabkan tidak tahu ke mana tuannya menghilang, kumpulan anak nyang itu meninjau di beberapa rumah yang sering dikunjungi Tok Kemah. Wanita tua itu biasanya selalu memaklumkan terlebih dahulu kepada anak-anaknya itu ke mana dia mahu pergi.
Dikatakan, harimau yang menaiki beranda rumah Mak Wan Bedah beberapa malam yang lalu adalah bapa kepada kumpulan anak nyang Tok Kemah yang cuba mengesan kehilangan tuannya. Malah, cahaya yang memancar di bawah rumah sepanjang tempoh peninggalan ibu ke tempat ayah dulu dikaitkan juga kumpulan anak nyang Tok Kemah yang mengawal keselamatan aku dan Kak Tini. Kumpulan anak-anak itu berbuat demikian adalah suruhan Tok Kemah.
Namun begitu, sejarah kehidupan Tok Kemah selanjutnya tidak diketahui apabila ibu, aku dan Kak Tini berhijrah dan menetap di tempat ayah tidak lama selepas itu. Selepas berpuluh tahun masa sudah berlalu, kami menganggap Tok Kemah sudah pun lama mati. Tidak diketahui pula ke mana perginya kumpulan anak nyang peliharaan wanita tua tersebut.
Tetapi daripada kisah Tok Kemah masa aku kanak-kanak dulu mengingatkan bahawa binatang yang ganas pun boleh berhati manusia apabila ada manusia mempunyai perikemanusiaan. Tidak semua binatang penuh dengan sifat kebinatangan tetapi ada sesetengah dalam kelompok manusia ada sifat kebinatangan.
4 Comments
dah macam cerita waris jari hantu pun ada ni kak...
ReplyDelete@Farah Waheda Wahid
ReplyDeletehaha..ye ke
Yalah farah sebijik waris jari hantu...mesti aku ni maya karin..he..he
ReplyDelete@Raudzah Z
ReplyDeletehahaha..ha'ah macam waris jari hantu le pulak...wah Rauzah dah jdi maya karin..tak pe ah..akak jadi Tok Kemah ler...