Recents in Beach

KISAH MAYAT BANGKIT MINTA AIR!

Loading...
Loading...
KISAH MAYAT BANGKIT MINTA AIR!

Ketika saya mahu masuk tidur, Munir datang bersama isterinya memberitahu bapa mertuanya kemalangan di Tanjung Malim.
Emak mertuanya juga ada bersama semasa kemalangan tersebut.  Adik iparnya yang berumur 12 tahun juga ada. Kejadian ini berlaku dalam tahun 1979.

Sebenarnya tidak ada apa-apa cerita pelik mengenai Ustaz Badur bapa mertua Munir ini dalam kemalangan jalanraya tersebut.

Disebabkan saya kawan baik dengan Ustaz Badur, maka kemalangan yang menimpanya itu diberitahulah oleh Munir kepada saya. Ustaz Badur terlibat dalam kemalangan itu kira-kira jam 11.00 malam semasa balik dari Taiping ke Kuala Lumpur.

Kemalangan itu tidaklah pula teruk sangat. Dia tiga beranak dimasukkan juga ke hospital Tanjung Malim. Ustaz Badur yang teruk sedikit.

Malam itu saya minta maaf kepada Munir kerana tidak dapat pergi ke hospital Tanjung Malim melawat Ustaz Badur. Sebenarnya dia pun bukanlah hendak mengajak saya ke hospital di Tanjung Malim, cuma untuk memberitahu saja mengenai kemalangan yang menimpa Ustaz Badur.

Dia tahu benar hubungan baik saya dengan Ustaz Badur hingga kalau saya datang ke rumahnya, saya tidak akan silu-silu terus masuk sampai ke dapur.

Seminggu kemudian baru saya melawat Ustaz Badur di rumahnya di Segambut. Ketika saya sampai dahi Ustaz Badur masih melecet dan bawah matanya kelihatan lebam biru.

Manakala Mak Seha isteri Ustaz Badur terbaring tidak boleh bangun kerana sesak nafas sejak kemalangan. Dia tidak boleh duduk lama-lama kerana badannya pun gemuk sedikit. Anaknya yang berumur 12 tahun bernama Zaqlul bersimen tangan, tetapi dia tersengih-sengih bila ditanya mengenai kemalangan tersebut.

“Ho, seronoknya Ustaz, macam hero jatuh tunggang balik” dia memberitahu dengan ketawa.

“Dekat selekoh belum sampai Tanjung Malim kalau dari sini, di situlah” Ustaz Badur memberitahu.



“Kalau nak cerita, nanti orang tak percaya. Ustaz pun tahulah, orang sekarang ni mana nak percaya cerita-cerita lembaga halus ni. Mereka kata tahyol” ujarnya mencebikkan bibir.

“Mak Seha tak boleh bangun, baring aje laa” saya menegur Mak Seha kerana dia terkial-kial bangun hendak sama bercerita.

“Sikit-sikit boleh juga bangun Ustaz” kata Mak Seha gagahi juga untuk duduk.

Dia memang tidak senang diam kalau saya berkunjung ke rumahnya. Ada saja yang dihidangkannya, terutama kalau waktu makan nasi. Sekiranya saya bergurau bertanyakan mana ulam, dia akan cepat-cepat pergi ke belakang rumah mengambil pucuk gajus. Cepat-cepat pula menumbuk sambal belacan perah asam limau. Ustaz Badur pula membakar petai, kerana petai bakar lebih sedap dibuat ulam katanya.

Hubungan mesra antara saya dengan Ustaz Badur dan keluarganya ini sudah terlalu rapat betul. Kadangkala kalau saya lama tidak datang ke rumahnya baik Ustaz Badur mahupun Mak Seha mula menyuruh menantunya Munir menelefon saya. Munir pula memang berkawan rapat dengan saya sebelum itu lagi, dan dia akan memberitahu saya bapa mertuanya berpesan suruh datang ke rumah.

“Lari tak laju Ustaz” beritahu Mak Seha termengah-mengah juga menahan sakit di dada.

Entah macam mana boleh terbabas, tapi memang makcik nampak macam ada perempuan melintas masa tu. Jadi, fasal itulah agaknya orang tua ni tak dapat kawal kereta” jelasnya mengingat-ngingatkan peristiwa tersebut.

“Hah, itulah puncanya. Bukan saya aje yang nampak, makcik ni pun nampak” ujar Ustaz Badur meramas-ramas lengannya yang masih sengal-sengal.


“Saya nampak perempuan pakai baju serba putih melintas jalan, jadi fasal saya nak elakkan dia kereta saya terbabas” kata Ustaz Badur menunjukkan sikunya, lengannya, dan dadanya yang luka dan melecet.

“Saya pun nampak, Ustaz” Zaqlul pula menyampuk.


“Saya yang pekik kat ayah, tanya siapa yang melintas” dia tersengih-sengih juga.

Itulah pengalaman Ustaz Badur. Kalau mahu dikatakan mengantuk hingga keliru terpandangkan di tengah jalan ada perempuan memakai serba putih melintas, masakan isterinya Mak Seha dan anaknya Zaqlul juga ternampak lembaga yang sama. Ustaz Badur tidak mengantuk, apa yang dilihatnya itu memang pernah dilihat oleh pemandu-pemandu lain ketika melalui jalan tersebut.

Walaupun di situ memang banyak selekoh tetapi keadaannya tidaklah merbahaya sangat kalau dalam suasana biasa. Tetapi apabila ada gangguan pemandu-pemandu tidak akan dapat mengawal kereta.

Perkara yang sama berlaku juga pada seorang kawan saya dalam perjalanannya mahu balik ke Johor, melalui jalan Mantin di Seremban. Tiba-tiba saja kereta yang dipandunya stereng keras tidak dapat dipulas lagi. Akhirnya keretanya terus menjunam ke dalam gaung iaitu selekoh sebelum sampai ke Beranang.

Pada malam itu Ustaz Badur balik dari Taiping setelah menghadiri majlis perkahwinan saudaranya. Disebabkan dia orang berniaga, terpaksalah dia balik juga ke Kuala Lumpur kira-kira jam 6.00 petang. Dia berhenti juga di pertengahan jalan untuk sembahyang Maghrib dan Isyak.

Di Ipoh dia berhenti juga untuk makan. Hanya apabila sampai berhampiran Tanjung Malim, dia merasa angin bertiup sejuk. Hujan turun renyai-renyai. Mak Seha mengingatkan Ustaz Badur supaya tidak membawa kereta laju, kerana dia sudah mendengar mengenai jalan selepas Tanjung malim itu sering orang bertemu lembaga memakai serba putih berdiri di tengah jalan.

Kadangkala lembaga itu duduk pada cermin kereta menyebabkan pandangan tertutup. Ustaz Badur pula tidaklah berdiam diri saja, dia membacakan juga ayat-ayat suci Al-Quran yang terlintas di kepalanya semasa memandu itu. Sementara Zaqlul duduk di belakang tidaklah tidur, walaupun usianya masih anak-anak. Memang dia sukar tidur kalau di dalam kereta.

Hujan renyai-renyai turun tidak berhenti sehingga sampai ke tol. Selepas tol, Ustaz Badur bercadang mahu singgah dulu di pekan Tanjung Malim untuk berhenti minum kopi, tetapi Mak Seha tidak mahu.

“Dah dekat nak sampai, buat apa berhenti lagi” ujarnya membantah, kerana dia mahu segera sampai ke rumah. Zaqlul juga bersetuju dengan emaknya.

Dia tidak mahu berhenti minum terlebih dulu. “Banyak minum nanti banyak kencing” katanya nakal.

Disebabkan anak dan isterinya tidak mahu berhenti, Ustaz Badur pun tidak merasa seronok untuk singgah di Tanjung Malim.

“Kalau awak nak berhenti minum, berhentilah dulu. Nanti kempunan pulak” Mak Seha mengingatkan dia.

“Ah, aku seorang minum buat apa” rungut Ustaz Badur. Setakat dia seorang mahu minum kopi buat apa singgah di pekan Tanjung Malim yang terpaksa menyimpang jauh ke dalam sedikit.

Lebih baik berhenti di gerai-gerai yang ada di tepi jalan. Dia mahu singgah di pekan Tanjung Malim kerana mahu mencari kuih pau yang terkenal di Tanjung Malim itu. Melepasi kawasan perkampungan, tibalah di selekoh yang gelap.

Kiri kanannya pokok-pokok getah yang rimbun menjadikan kawasan di situ bagaikan diserkup. Hujan renyai-renyai masih turun, tetapi jalan tidaklah begitu licin. Sampai di kawasan selekoh itu Ustaz Badur tidaklah memecut sangat. Lagipun orang tua sepertinya memang tidak suka membawa kereta laju.

“Eh, apa yang putih tengah jalan tu ayah” Zaqlul menudingkan jari telunjuk ke hadapan.

“Orang nampaknya tu…” Mak Seha tergamam sedikit.


“Orang gila ke agaknya, merayau tengah malam macam ni” rungutnya apabila nampak lembaga berpakaian serba putih mara menuju ke kereta.

Ustaz Badur cuba menekan brek, tetapi terasa breknya tidak mencengkam. Dia menjadi kelam kabut kerana brek sudah ditekan kuat, tetapi tidak memberi bekas. Kereta semakin hampir dengan lembaga berkenaan. Mahu tidak mahu dia terus merempuh, dan merasa keretanya bukan melanggar lembaga tadi sebaliknya menerpa ke tebing.

Semasa keretanya terbabas, Ustaz Badur lama terduduk di bangku depan. Dia tidak tahu apa sudah berlaku. Hendak dikatakan pengsan tidak pula, kerana dia sedar apa yang berlaku ketika itu. Dia tahu Zaqlul yang mula-mula keluar dari kereta dan memanggilnya.

Mak Seha juga tergamam. Dadanya tersendal ke depan, tetapi dia juga tidaklah pengsan. Dia masih ingat Zaqlul memanggil-manggilnya suruh keluar. Dalam hujan renyai-renyai itulah Zaqlul menahan sebuah kereta yang sedang hendak menuju ke Ipoh. Dengan bantuan pemandu kereta itulah mereka bertiga dibawa ke hospital Tanjung Malim. Ketika ini Zaqlul tidak sedar bahawa tangannya patah semasa kereta terhumban ke tebing.

Setelah sampai di hospital barulah dia merasa tangannya sakit. Pemandu yang menolongnya itulah juga yang menelefon menantunya Munir memberitahu tentang kemalangan tersebut.

“Mujurlah juga ada orang mahu menolong saat-saat begini” ujar saya sambil melihat kesan melecet pada dahi Ustaz Badur.

“Orang tua macam saya ni, tentulah dia orang nak tolong. Lagipun inilah sebahagian dari pertolongan Allah juga” katanya perlahan.

Memang pada zahirnya kita melihat makhluk yang membantu kita dalam kesusahan demikian, tetapi sebenarnya hati makhluk itu digerakkan oleh Allah supaya memberikan pertolongan. Inilah dimaksudkan oleh Ustaz Badur pertolongan dari Allah itu.

Bagaimana kisah dia terserempak lembaga berpakaian serba putih di Tanjung Malim, hingga menyebabkan keretanya terbabas itu tidaklah mendebarkan sangat hatinya. Masa ini dia sempat membaca Qulhuallah beberapa kali. Sebab itu dia dapat merasakan kemalangan yang menimpanya itu tidaklah berat. Biasanya kalau kereta terbabas di situ jarang orangnya selamat. Kalau tidak pun kereta akan remuk teruk terhumban ke bawah ke bawah gaung.

Malah semasa Zaqlul keluar dari kereta, memang Ustaz Badur membaca Fatihah 17 kali, diikuti dengan Ayat Kursi 17 kali dan Surah Yassin. Dalam masa inilah Zaqlul menahan sebuah kereta yang dalam perjalanan menuju ke Ipoh. Pemandu kereta itu berbangsa CIna, telah menolong Ustaz Badur sehingga semua kesnya selesai. Kira-kira jam 3.00 pagi, barulah lelaki Cina itu meneruskan perjalanannya ke Ipoh.

“Begitulah Allah memberi pertolongan” kata Ustaz Badur tersenyum.

“Tiba-tiba saja lelaki Cina itu lalu, dan terus bersusah payah menolong saya. Kalau kita benar-benar beriman kepada Allah, kita akan sedar bahawa itulah pertolongan Allah yang sebenar-benarnya” dia menjelaskan dengan terharu.

Saya mengangguk-ngangguk kepala. Tidak hairan kepada saya mengapa Ustaz Badur berkata demikian, kerana orang yang bertaqwa kepada Allah sentiasa bersyukur di atas segala pertolongan yang diterimanya dari Allah. Kita berterima kasih kepada orang yang menolong, tetapi bersyukur kepada Allah kerana kudrat dan iradatNya jua menyebabkan orang tersebut datang memberikan pertolongan.

Kadangkala inilah yang disalahertikan oleh mereka yang ingin mempelajari ilmu. Saya pernah didatangi oleh seorang pemuda yang beriya-iya sangat mahu mendapatkan ilmu yang boleh mengalahkan musuh. Saya memberitahunya bahawa tidak ada ilmu itu pada saya.

“Kenalah awak cari orang lain untuk berguru, kerana saya tidak pernah belajar ilmu macam tu” kata saya.



“Kalau awak mahu kalahkan musuh, janganlah cari musuh” ujar saya sengaja bergurau.

“Tapi Ustaz, kalau kemenyan sebesar lutut tak dibakar, mana nak ada bau” dia masih mendesak mahukan saya mengajar dia, sedangkan saya sebetulnya tidak ada ilmu sedemikian.

Disebabkan dia bersungguh-sungguh sangat mendesak, saya pun menyuruh dia hafalkan doa Haikal. Tidak lama kemudian dia datang memberitahu bahawa doa yang saya ajarkan itu tidak memberi bekas, kerana dia telah diserbu oleh beberapa orang lelaki.

“Dia pukul awak?” tanya saya.

Pemuda itu menggeleng kepala. “Tetapi dia mengancam mahu memukul saya” ujarnya macam kesal.

“Apa salah awak?” soal saya lagi.

“Dia tuduh saya ganggu adik perempuannya” beritahunya masih tidak puas hati kerana dia menuduh saya mengajar doa yang bukan dihajatinya.

Pemuda itu memberitahu dia telah dikepung oleh 7 orang pemuda, masing-masing ada membawa senjata. Dia balik dari menghantar seorang gadis yang baru dikenalinya, tetapi salah seorang pemuda itu mendakwa wanita itu adiknya, dan seorang lagi tunangnya. Dalam keadaan tergamam dia membacakan doa yang saya ajarkan itu. Tidak lama kemudian 7 orang pemuda itu pun pergi meninggalkan dengan memberi amaran supaya jangan mengganggu gadis berkenaan. Pada sangkaan pemuda itu apabila dibacakan doa tersebut, maka 7 orang pemuda yamg mengepungnya itu akan terpelanting seperti daun-daun kering ditiup angin.

“Sepatutnya awak bersyukur kepada Allah, kerana pemuda itu tidak jadi memukul awak” saya mengingatkan dia bahawa pertolongan Allah selalunya datang secara tidak kita sedari.



“Kalau awak nak tengok dia terpelanting, itu bukan kuasa kita” kata saya seterusnya.

Itulah yang saya katakan bahawa orang yang tidak mengerti apa itu pertolongan Allah sukar untuk saya memberitahunya. Terutama pemuda-pemuda yang ghairah mahu mendapatkan ilmu kebatinan, mereka merasa apabila dibacakan doa-doa tertentu maka musuh yang dihadapi akan terpelanting atau sebagainya.



Yang penting kita jangan mencari musuh, kalau kita tidak mencari musuh tentulah diri kita tidak ada musuh. Anehnya, mereka mencari ilmu kerana mahu menentang musuh, bukannya untuk berserah diri kepada Allah. Sebab itulah saya bersetuju dengan Ustaz Badur bahawa dia sentiasa bersyukur, walaupun mendapat kemalangan jalanraya ketika itu. Dia bersyukur kerana tidak menderita akibat kemalangan itu, di samping ada pula orang yang mahu menolongnya ketika itu.

“Terserempak lembaga tu, tak pelik sangat pada saya Ustaz” beritahu Ustaz Badur tersenyum.



“Ada lagi yang pelik kalau Ustaz nak dengar” katanya mengingatkan sesuatu.

Inilah yang seronoknya kalau saya bertemu Ustaz Badur. Ada saja cerita yang hendak dicakapkan kepada saya. Dia memang kaya dengan pengalaman, malah pernah kena tahan oleh British sebelum merdeka dulu kerana penglibatannya dalam gerakan Islam, tetapi pihak British menuduhnya sebagai puak pelampau.



Lama juga dia ditahan di Melaka, sebelum dipindahkan ke Morib. Dalam masa dahinya masih lebam-lebam akibat kemalangan jalanraya itu, dia masih bersemangat mahu menceritakan dengan saya mengenai pengalamannya yang lain.

“Ustaz nak cakap fasal kena tahan dulu?” tanya saya mengusiknya.

“Eh mana boleh kisah macam tu juga. Kisah tu dah habis dah, negeri kita dah merdeka, buat apa kenang lagi kisah tu” dia tersengih-sengih, kerana saya selalu mengusiknya untuk mengetahui kisah-kisah dirinya semasa ditahan oleh British dulu.

Post a Comment

0 Comments