Recents in Beach

Akhirnya Mak Mati Bawa Derita Terpendam

Loading...
Loading...
"KEBANYAKAN wanita khususnya yang telah berumah tangga suka menyimpan masalah mereka tanpa memberitahu pasangan masing-masing dengan alasan nak jaga hati keluarga mentua dan perasaan suami. Sebenarnya jika terlalu banyak menyimpan perasaan, ia boleh membinasakan diri sendiri.

"Saya bukan bercakap pasal wanita zaman sekarang sahaja, tetapi sejak zaman dahulu lagi. Kata orang tua-tua `tak ada dulu tak ada sekarang.' Saya masih ingat ketika saya masih remaja, saya hairan mengapa emak berkorban segalanya untuk suami sedangkan pengorbanannya tidak dihargai oleh ayah saya.'' Itu cerita Nurulaine dalam e-melnya.

"Cuba bayangkan, dulu emak saya semasa hayatnya tak pernah merasa pakai baju mahal-mahal. Paling mahal RM3 semeter. Emak tak pernah diajak berjalan memilih pakaian yang digemarinya, apa lagi bercuti bersama keluarga walaupun ke Port Dickson (PD). Kata ayah itu semua tak berfaedah, membazir dan perbuatan riak.

"Tetapi hari ini setelah ayah kahwin baru, isteri baru ayah sentiasa bergaya dengan fesyen pakaian terbaru, itu belum masuk kira fesyen tudungnya, semuanya mengikut trend orang muda sekarang.

"Saya kecewa dengan perubahan ayah. Kalau dulu apa saja emak minta belikan, dia kata membazir. Dia langsung tidak kasihan dengan emak yang berada di rumah.

"Tetapi hari ini dia boleh membawa isteri baru pergi makan angin ke Langkawi. Dapat tambang kapal terbang harga murah. Kami yang bekerja ini pun tak pernah pergi makan angin jauh-jauh, kerana ada anak-anak masih kecil.

"Sebenarnya saya dengar mereka melancong hingga ke Indonesia termasuk Medan, Jakarta, Bandung, Bukit Tinggi dan Jogja. Saya cuma terfikir ketika melancong ke negara orang tu pernah tak ayah teringatkan arwah emak? Sebab dulu jangan kata nak bawa emak pergi melancong ke luar negara, nak pergi ke PD pun payah. Kami pergi ke PD tetapi ayah buat muka masam. Emaklah yang melayan kami empat beradik.

"Tapi sekarang apabila kami tengok ayah sering makan angin dengan isteri baru, kami adik-beradik mulalah bercakap sesama sendiri. Bukan mengumpat, tetapi teringatkan arwah emak yang tak pernah merasa seperti apa yang isteri baru ayah dapat rasa sekarang. Bila ingatkan itu semua kami jadi sedih.

"Terutama saya dan acu Ella, tapi abang long tak ambil peduli. Malah dia kata biarlah ayah pergi makan angin, dia guna duit simpanannya sendiri. Memang betul. Tetapi apakah dia pernah fikirkan pengorbanan emak yang turut sama berjimat supaya ayah boleh simpan banyak duit? Emak ikat perut supaya ayah boleh simpan duit.

"Sekarang setelah berumah tangga saya dapat rasakan dan bayangkan betapa susahnya hati emak setiap kali kami minta duit tambahan ke sekolah atau ajak emak pergi makan angin ke PD. Sebab emak kata ayah tak cukup duit untuk tanggung makan minum kami, nak bayar tambang bas dan beli baju raya. Ayah kata dia perlu simpan duit untuk masa depan.

"Tetapi sekarang duit yang ayah simpan untuk siapa? Bukan untuk kami semua, tetapi untuk ayah sendiri. Saya dan Acu sering bercakap pasal kisah kami masa kecil dulu betapa susahnya nak minta duit ayah. Kata emak ayah perlu simpan untuk kami, tetapi sah kini duit simpanan ayah bukan untuk kami, apa lagi emak, sebaliknya untuk ayah sendiri dengan isteri barunya. Bila teringatkan itu semua, saya jadi kasihan dengan arwah emak.


NAIK ANGIN

"Saya rasa emak terlalu banyak menyimpan perasaan yang tak pernah dapat dizahirkan kepada ayah. Sebab emak tak berani berbual dengan ayah kecuali ada perkara penting, kalau nak bercakap kena tengok mood ayah baik atau naik angin. Masalahnya, ayah sentiasa naik angin setiap kali balik rumah. Muka tak pernah senyum, masam memanjang. Kami memang takut bila ayah balik. Jadi masa bila emak boleh berbual dengan ayah secara baik.

"Silap cakap, atau tersalah waktu pasti emak kena tengking. Jadi kalau ada masalah emak selalu simpan dalam hati. Agaknya itulah sebab emak meninggal dunia semasa masih muda tak sampai 50 tahun. Maaf! Saya tak nafikan ajal maut di tangan Allah, tetapi sedihnya emak meninggal dunia sebelum dapat menikmati hasil yang disemainya terhadap kami selama ini.

"Masa tu, cuma abang saja bekerja. Yang lain masih belajar dan bersekolah. Walaupun abang bekerja, tetapi orang lelaki bukan nak bagi emak duit, sebaliknya selalu minta bantuan emak dan ayah sebab tak cukup duit nak pergi kerja ketika hujung bulan.

"Walau apa pun kata abang long, kami lebih rapat dengan emak dan kami faham perasaan emak yang sering sedih kerana tak dapat luahkan perasaannya, kerana itulah juga punca emak diserang penyakit darah tinggi dan mati mengejut. Jika emak dapat melahirkan isi hatinya, sudah tentu emak gembira, dan pasti dapat menikmati sedikit kegembiraan dalam kehidupan yang dipanggil hidup bersuami isteri.

"Emak meninggal dunia sendirian dalam rumah. Waktu itu saya balik sekolah, saya fikir emak tertidur atas sofa, rupanya emak dah meninggal. Saya panggil emak tak jawab. Peristiwa itu tetap terpahat di hati saya hingga kini.

"Melihat keadaan emak dan memikirkan hidup saya kini, maka saya putuskan tidak akan simpan apa juga yang terbuku di hati daripada pengetahuan suami, saya zahirkan dan ajak berbincang, supaya suami faham masalah dan apa yang terbuku di hati saya.

"Kalau suami kata dia nak simpan duit, saya pun hendak simpanan juga. Saya tolak hasrat suami buka akaun bank bersama kerana saya mahu sama-sama menikmati simpanan dan berbelanja mengikut kemampuan saya. Untuk apa simpan duit banyak kalau akhirnya kita tidak menikmati apa yang kita simpan dan korbankan selama ini.

"Saya rasa masalah seumpama ini bukan saja dihadapi oleh emak saya, malah ramai lagi wanita yang menderita sendirian, kerana mereka tidak ada tempat hendak mengadu, selain berdiam diri kerana takutkan suami.̢̢۪۪ Demikian pandangan Nurulaine, nasihatnya supaya isteri jangan terlalu simpan perasaan akibatnya boleh memburukkan diri sendiri.


-seperti yang diceritakan

Post a Comment

0 Comments