Recents in Beach

Kakak Ipar Yang Pelik DI Aidilfitri

Loading...
Loading...
Kali ini saya ingin berkongsi kisah menarik kiriman Izah (bukan nama sebenar) tentang sikap kakak iparnya yang molek dijadikan teladan untuk kita semua.

Begini kisah Izah.

"Saya anak bongsu dalam adik-beradik seramai lima orang, Tiga lelaki dan dua perempuan. Kesemua abang dan kakak saya telah berkahwin.

"Saya tinggal bersama ayah dan ibu di kampung dan bekerja di bandar berhampiran. Abang dan kakak semuanya tinggal di luar kampung halaman kami.

"Namun mereka akan pulang ke kampung bertanya khabar ayah dan ibu secara bergilir-gilir kecuali abang saya yang ketiga. Dia memang pelik dan berbeza sikapnya dengan dua orang abang saya yang lain.
"Abang saya ini ada masalah dengan isterinya yang suka mengongkong pergerakannya. Dia lebih mendengar dan menurut kata isterinya dan tidak banyak cakap.

"Abang saya seorang yang baik tetapi sikap isterinya menjadikan dia membawa diri dan tersisih daripada kami kecuali pada hari raya. Itu pun kami bersyukur sebab mereka sekeluarga balik juga pada hari raya untuk bersama kami.

"Apa yang ingin saya kongsi adalah sikap Salwa (bukan nama sebenar), isteri abang saya ini. Bukan niat saya memburukkan sikapnya tetapi saya ingin jadikan ia pengajaran terutama pada isteri yang bersikap sepertinya.
"Telah menjadi kebiasaan kami, setiap anak yang akan pulang menyambut hari raya di kampung akan membawa beberapa jenis kuih-muih dan makanan. Ini dilakukan secara sukarela.

"Tujuannya kerana tidak mahu membebankan ibu dan ayah di kampung dan supaya orang tua kami gembira dengan kepulangan anak cucu dan menantu mereka untuk menyambut hari raya.
"Bayangkan apabila ramai adik-beradik berkumpul dengan keluarga masing-masing maka keadaan akan menjadi meriah, dan bajet makanan juga akan bertambah.

"Ada yang sukarela mengeluarkan belanja untuk menampung, ada juga yang hanya mendiamkan diri buat tak tahu macam tidak ada apa yang berlaku. Dah tentu mereka ini adalah abang saya yang ketiga ini dan isterinya, Salwa.

"Tapi yang saya hairan, apabila masuk waktu berbuka, dia anak-beranak yang dahulu mengambil makanan, sedangkan orang lain masih sibuk menyediakan makanan.

"Sudah lama saya perhatikan sikap kakak ipar saya ini. Geramnya saya tidak terkata. Sejak kahwin hingga kini itulah perangai dia, tidak pernah berubah. Bukannya saya hendak berkira tetapi faham-fahamlah sendiri.

"Pada hal, dia bukan tidak tahu, semua perbelanjaan kami empat beradik yang keluarkan, tidak termasuk abang saya yang juga suaminya. Percaya tak anda kalau saya katakan, setiap kali balik raya bersama suami dan anak tunggal mereka, dia hanya membawa kerepek pisang sebanyak dua bungkus. Berapalah sangat harga dua bungkus kerepek pisang itu. Tapi itu sahaja yang dia orang bawa.

"Balik pula betul-betul pada malam raya setelah semua kerja selesai dibuat oleh ipar-duai saya yang balik lebih awal. Bila ditanya kenapa tak datang lebih awal, alasan yang diberikan suami tidak izinkan.

"Apa salahnya datang sehari lebih awal menolong mentua dan ipar-duai buat kerja? Bukan untuk siapa, untuk kita adik-beradik juga. Atau memang dasar pemalas atau lepas tangan?

"Saya faham memang tak manis bermasam muka di malam raya, lebih-lebih lagi di rumah mentua tetapi tolonglah bertimbang rasa. Fikirkan tentang orang lain yang juga ada masalah tetapi sanggup ketepikan semua itu kerana ingatkan ikatan keluarga.

"Jangan mengambil kesempatan di atas kebaikan mentua dan ipar-duai untuk anda jadi 'mem' dalam rumah. Sekali dua mungkin orang boleh faham tetapi kalau selalu macam itu, orang meluat dan mengeji.

"Saya hairan kerana sikapnya yang tidak pernah berubah sejak dari mula berkahwin hingga kini. Anak tunggal mereka juga sudah bekerja. Pada saya, ini sikap yang mementingkan diri sendiri. Jika ipar duai yang lain tahu akan tanggung jawab mereka, kenapa tidak dengan Salwa? Atau memang dia sengaja tidak mahu faham?

"Sesekali saya ada terdengar juga komen saudara mara tentang perangai kakak ipar saya itu, nak tahu apa jawapannya, "anak kami seorang, jadi tak perlu keluarkan duit yang banyak untuk berbelanja. Cukuplah bawa kerepek pisang dua bungkus.''

"Yang peliknya kerepek pisang tidak dijamah pada hari raya tetapi kuih-kuih orang lain yang dia anak-beranak makan. Bukan mengata tetapi inilah kenyataan perangai abang dan kakak ipar saya dan anaknya.

"Saya sangat berharap mereka akan faham erti hari raya. Ia hari untuk bergembira dan melakukan segala-galanya dengan ikhlas hati serta bermaaf-maafan. Ini tidak dia orang menjadikan hari raya untuk sindir menyindir kami yang tidak sehati dengannya.

"Mana tidaknya, dalam suasana menyambut hari raya dia masih sanggup menyindir dan mengata kami. Ada satu ketika itu seorang saudara kami bertanya, kenapa tidak dihidangkan kerepek pisang itu bersama kuih muih yang lain.

"Jawab Salwa, kerepek itu jika tiada orang makan boleh dibawa pulang untuk rumah terbuka kami. Tidaklah membazir.'' Pelikkan? tapi itulah perangai manusia yang sukar untuk dibawa berunding dan tidak faham erti persaudaraan dan kasih sayang.

"Seperkara lagi yang saya tidak suka adalah sikapnya yang terburu-buru nak balik walaupun masih ada cuti. Duduk di rumah pada hari raya pertama macam cacing kepanasan. Gelisah dan tak tentu arah.

"Pagi hari raya kedua sibuk mengemas beg baju nak balik Kuala Lumpur sedangkan masih banyak kerja yang hendak dilakukan. Abang saya pun satu, ikut sahaja kehendak isteri dan anak. Macam lembu dicucuk hidung.
"Walaupun abang saya dan isterinya buat perangai macam itu, ibu masih lagi sayang mereka. Kata ibu, dia selalu berdoa agar mereka akan berubah.

"Saya masih ingat tahun lalu, semasa hendak pulang ibu saya menghulurkan bungkusan penuh dengan kuih- muih, ketupat dan rendang kepada cucunya.

"Kata ibu, bawalah balik makanan ini, sampai di rumah nanti lapar tak ada makanan nak makan, sebab yang ada cuma kerepek pisang. Kami semua yang mendengarnya ketawa terbahak-bahak tetapi tuan empunya tubuh buat tak tahu sahaja. Memang tebal betul muka dia.

"Sehingga kini mereka masih macam itu, dan kami adik-beradik sudah lali dengan perangai mereka tiga beranak. Apa nak dikata, bak kata ibu, jangan putus berdoa. Seburuk mana sekalipun mereka, mereka tetap anak menantu dan cucu ibu. Mereka tetap dia sayang macam kami semua juga.

"Walau macam mana sekalipun perangai mereka, kami gembira kerana setiap kali hari raya mereka tetap akan balik. Lambat atau cepat biarlah, asalkan mereka balik dan ibu serta ayah gembira.

"Semoga Allah buka pintu hati abang, kak Salwa dan anaknya untuk berubah. Insya-Allah, saya akan doakan agar hajat kami akan menjadi kenyataan!,'' Izah menamatkan ceritanya.

Cerita seperti ini telah banyak saya dengar tetapi ini lain sikit kerana walaupun perangai begitu, mereka masih pulang beraya di kampung, berbanding yang lain langsung tidak mahu balik ke rumah mentua.

Apa pun, wajib bagi kita menggembirakan orang tua terutama pada hari raya. Itulah masanya kita menghargai pengorbanan dan jasa baik mereka melahirkan, mendidik dan membesarkan kita. Tidak kira ibu bapa kandung atau mentua, tarafnya tetap sama.

Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

Post a Comment

0 Comments