Recents in Beach

MH17 :Syawal Tanpa Ibu Undang Rasa Sedih, Marah dan Hiba

Loading...
Loading...
Nur Diyana Yazeera Yezli merupakan anak tunggal ketua pramugari pesawat MH17 yang ditembak puak pemberontak pro Rusia 17 Julai lalu. – Gambar Twitter, 28 Julai, 2014.

"Jangan suruh saya tabah. Cakap saja senang, tapi sebenarnya sangat susah," kata Nur Diyana Yazeera Yezli, 15, menggambarkan perasaannya menyambut Syawal tanpa ibunya, Dora Shahila Kassim yang terlibat dalam nahas pesawat MH17


Nur Diyana dalam akaun Twitter miliknya menyatakan rasa sedih, marah dan hiba kerana sambutan raya tidak lagi sama selepas kehilangan ibunya dalam insiden 17 Julai lalu.
"Ibu, raya tahun ini dan seterusnya tidak akan sama. Saya tidak akan menyambutnya tanpamu.
"Ketika orang lain menyambut raya dengan ibubapa mereka, hari raya bagi saya tidak ada bezanya dengan hari lain," katanya sambil menambah sakit asmanya kembali menyerangnya baru-baru ini.
Remaja itu merupakan anak tunggal ketua pramugari MH17, Dora yang menjadi sebahagian daripada 298 mangsa nahas MAS Boeing 777-200ER ketika melintasi kawasan konflik di timur Ukraine.
Beberapa hari lalu, Diyana banyak berkongsi perasaan sedihnya menerusi laman sosial miliknya seperti Twitter dan Instagram. Antaranya, dia menulis, “saya akan kembali berseorangan. Mummy, hanya Allah sahaja tahu betapa rindunya saya terhadap mummy sekarang”.
 Diyana, pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan turut meluahkan perasaan yang memerlukan ibunya kembali berada di sisinya, “saya sekarang mudah marah terhadap semua perkara dan semua orang. Mummy, tolong balik, please”.

Namun, di sebalik luahan hati sedihnya itu, Diyana turut memuat naik status-status yang memperlihatkan sisi tabahnya sebagai seorang anak yang baharu kehilangan ibu tercinta.

Menganggap ibunya sebagai “superhero”, Diyana berikrar untuk meneruskan legasi kerjaya ibunya dan tidak akan membenarkan sesiapa pun lupakan tragedi itu.
Hari ini, beliau meluahkan perasaan marah apabila melihat orang lain menyambut raya bersama sebagai satu keluarga.
"Saya rasa marah melihat semua orang menyambut raya bersama keluarga. Saya tahu saya tidak adil tetapi saya hanya meluahkannya saja," katanya dalam Twitter.
Dora, yang juga ibu tunggal, antara 15 kakitangan penerbangan MAS yang terlibat dalam nahas itu.
“Saya takkan berhenti daripada mengingatimu, mommy. Tiada siapa boleh menghalang saya daripada merindukanmu. Mummy sahajalah yang saya ada. Tapi jangan bimbang, mummy, saya akan teruskan legasi mummy okay?.

“Mummy sentiasa nak tengok saya berjaya kan? saya akan berjaya dan mengubah hidup saya, hanya tunggu dan lihat sahaja, okay mummy.

“Mummy rehat okay? Saya sayangkan mummy tapi Allah SWT lagi menyayangi mummy,” katanya memetik laman Twitter.

Diyana dan ibunya, Dora mempunyai pertalian yang sangat rapat malah kebanyakan gambar Diyana dalam media sosialnya mengandungi gambar selfienya bersama ibu.

Sementara itu, menerusi laman Facebook milik Dora, Allahyarhamah meletakkan gambar profilnya memakai pakaian berwarna hitam sebagai tanda bersedih di atas kehilangan misteri yang menimpa pesawat MH370, Mac lalu.

Semoga adik Diyana terus tabah dalam menjalani kehidupan dan semoga berjaya menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara seperti mana yang diimpikan oleh arwah ibunya terhadap satu-satunya permata hatinya itu.

Seramai 43 warga Malaysia menjadi mangsa serangan peluru berpandu yang ditembak puak pemberontak pro Rusia.
Diyana pada Sabtu lalu dalam pertemuannya selama tiga jam dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di kediaman rasmi Seri Perdana di Putrajaya turut berterima kasih kerana dapat berjumpa dengan pemimpin utama negara.
"Baru pulang daripada rumah Perdana Menteri. Beliau secara peribadi mengambil masa duduk bersama saya dan memberikan kata-kata nasihat. Saya menghargainya," katanya dalam twitter.
Dalam statusnya yang lain, dia berkata: “Kami akan menjaga kamu. Tak kira apa pun terjadi – Datuk Seri Najib dan keluarga.”
Beliau turut memuat naik beberapa keping gambar pertemuan itu, termasuk ketika Najib membongkok melihat iPad yang dibeli untuk Diyana, sebelum menyiarkan status berterima kasih kepada Najib kerana menjemputnya ke rumahnya. – 28 Julai, 2014.

Post a Comment

0 Comments