Recents in Beach

10 Tahun Selepas Tsunami, Kami Bertemu Semula Di Twitter

Loading...
Loading...
KUALA LUMPUR:
Dua minggu selepas tarikh 26 Disember 2004, saya telah ditugaskan untuk ke Banda Aceh untuk membuat liputan pasca Tsunami. 


Oleh kerana saya masih baru dalam bidang kewartawan ketika itu, pemergian saya ke Banda Aceh ditemani penerbit yang akan bergilir-gilir memikul tanggungjawab sebagai wartawan & jurukamera.

Kami terbang menaiki pesawat MAS ke Medan, Indonesia dan kemudiannya memilih untuk menempuh perjalanan darat 12 jam (lebih 600km) dari Medan untuk ke Banda Aceh.

Jam 8:30 malam waktu tempatan, kenderaan pacuan roda yang kami sewa nampaknya bukan untuk kami berdua sahaja. Kenderaan itu sarat dengan barang-barang bekalan makanan & ubat-ubatan termasuk beberapa orang lagi penumpang lain. 


Saya duduk di tempat duduk paling belakang hanya beralaskan pelapik getah dan disebelah saya ada kotak-kotak yang disusun tinggi sehingga tidak nampak lagi cermin belakang. 

Ketika itu saya dapat bayangkan perasaan si ikan sardin yang dipaksa bersempit di dalam tin. Oleh kerana suasana malam yang gelap gelita sepanjang perjalanan merentas desa & ruang sangat sempit, kami tidak membuat sebarang rakaman video dan hanya menunggu sehingga tiba di Banda Aceh.

Kami tiba di Banda Aceh lebih kurang jam 9 pagi, 17 Januari 2005. Ketika tiba, saya dapat menghidu sepoi-sepoi bau seolah bangkai tikus. 

Bayangkan lebih 170 ribu orang yang mati kerana hanyut di bawa arus Tsunami, walaupun lebih kurang 3 minggu telah berlalu, masih ada mayat yang masih kelihatan terbiar bergelimpangan mungkin kerana terlepas pandang.

Ketika di Banda Aceh, kami dibantu oleh sukarelawan dari Lembaga Kemanusiaan Nasional (PKPU). Dengan bantuan mereka dan seorang supir, kami dibawa melawat beberapa pusat penempatan mangsa Tsunami disekitar Banda Aceh. 

Paling kerap kami ke kem TVRI sebelah Aceh Barat kerana di sana dianggap penempatan mangsa Tsunami terbesar di Aceh.

 Kami ke sana pada waktu siang dan malam bagi merakam aktiviti lebih 4000 orang mangsa yang terpaksa merempat di situ termasuk wanita dan kanak-kanak. Mereka semua hidup daif beratapkan khemah, makanan rugi hanya nasi berlaukkan ikan masin.

Dalam salah satu sedutan laporan semasa mengikuti pihak Angkatan Tentera Malaysia ATM menziarah penempatan lebih 120 anak-anak yatim piatu di Pondok Pesantren Modern Babun Najah di Desa Doy Ulee Kareng, saya menemubual adik Nina Maulidia Rizka, 11 tahun yang hilang ibu dan rakan-rakan sepermainannya dibawa arus Tsunami.



“Cita-cita Nina mau jadi doktor, nanti bisa sembuh orang sakit..” kata Nina dalam nada sedih. Apabila ditanya tentang musibah yang menimpanya, belum sempat bercerita, sudah bercucuran air mata membasahi pipinya.

 Kanak-kanak ini ternyata masih trauma dengan apa yang berlaku beberapa minggu lalu. Masakan tidak, pada hari Ahad ombak Tsunami membaham kampungnya, dia sepatutnya bergembira bersama rakan-rakan membuat persembahan tarian pada satu acara pesta keluarga. 

Arwah ibunya pula memanjakan Nina dengan sebuah tv & pemain VCD, dibeli khas untuk anak kesayangannya itu. Dan beberapa jam sebelum ombak besar meranapkan rumahnya, Nina sedang leka melayan VCD klip-klip video Hindustan yang menjadi kesukaanya.


Hampir sepuluh tahun berlalu, Nina kini berusia 21 tahun. Siapa sangka, dengan rahmat media sosial yang ada kini, saya ditemukan semula dengan Nina.

 Saya menegur sapa di twitter dan selepas memperkenalkan diri serta menunjukkan foto lamanya, Nina mengakui itulah dia yang dulu. 

Nina yang sekarang lebih selesa terjun ke bidang komunikasi dan kini turut terpilih sebagai jurucakap Wakil 1 Duta Wisata Aceh 2014.


Nina kiniaktif menulis di blogdan turut berkongsi pengalamannya dengan beberapa media di Indonesia. Menjelang 10 tahun bencana itu berlalu, Nina ternyata telah‘move on’dan melangsungkan kehidupannya. Nina sempat bertanyakan kepada saya..”Apakah Pak Adli tidak berencana melihat perubahan di Aceh?”

astroawani

Post a Comment

0 Comments