Recents in Beach

Hanya Kerana Doa Di Tanah Haram,Sidek Simpan Rahsia Besar

Loading...
Loading...
SIDEK (bukan nama sebenar) yang baru kembali daripada menunaikan umrah memberitahu dirinya dalam dilema apabila hajat rakan perempuan sepejabat yang disempurnakan ketika berdoa di depan Kaabah kini menghantui beliau kerana tidak tahu bagaimana untuk menilainya.

Katanya, rakan berkenaan meminta beliau berdoa di depan Kaabah supaya orang yang menganiaya dirinya diberi petunjuk serta hidayah seterusnya memberhentikan perbuatan itu demi memelihara ukhuwah antara mereka yang sudah terjejas sejak sekian lama.


Hasrat rakan ditunaikan dan ditakdirkan malam itu, Sidek bermimpi didatangi seorang yang dikenali iaitu rakan sepejabatnya juga yang meminta beliau menyimpan saja rahsia itu. Katanya, ini antara kita, diam-diam saja sudahlah.

Sidek berkata, sebaik tersedar daripada mimpi itu, beliau terpinga-pinga kerana sukar baginya untuk mempercayai gambaran jelas yang dilihatnya. Hampir tidak percaya apabila teman sepejabat itu muncul dalam mimpi dan dengan selamba memintanya merahsiakan perkara itu.

Apa kaitan teman yang muncul dalam mimpi dengan teman yang berpesan untuk mendoakan supaya orang yang menganiayanya itu bertaubat. Adakah teman yang muncul dalam mimpi itu yang menganiaya rakan sepejabat yang memohon dipanjatkan doanya di depan Kaabah?

Rakan yang meminta didoakan tidak menceritakan apa sebenar diharapkan, sebaliknya pesanan beliau cukup ringkas iaitu meminta supaya pihak yang menganiaya dirinya berhenti melakukan perbuatan itu. Rakan itu hanya memberitahu dirinya sering sakit akibat disihir.

Perkara yang berlaku sebaik menunaikan umrah tidak dinafikan memberi kesan kepada diri Sidek, tetapi perkara itu tidak diceritakan kepada isteri yang ikut serta atau rakan dalam rombongan umrah mereka.

Dengan penuh nekad, beliau cuba meminggirkan seketika insiden tidak diduga itu dan memberi tumpuan kepada ibadah sepanjang berada di Makkah dan Madinah kerana memang niatnya untuk memanfaatkan kehadirannya yang pertama kali menjadi tetamu Allah SWT.

Apabila difikirkan kembali, pada pandangan Sidek ternyata benar setiap doa yang dimohon di hadapan Baitullah makbul. Jika tidak, mesti ada sebabnya iaitu perkara dimohon bukan yang terbaik untuk kita atau belum tiba masanya dipenuhi. Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Apa yang masih menjadi tanda tanya kepada Sidek, kenapa pula beliau dipilih untuk terjebak dalam kemelut rakan sepejabatnya itu. Beliau hanya menunaikan hajat teman yang meminta berdoa di Makkah kerana rezekinya dapat menunaikan umrah.

Walaupun cuba mengenepikan andaian yang meracun fikirannya, sebagai manusia biasa, Sidek tidak terlepas daripada membuat kesimpulan berdasarkan logik akal serta mimpi di tanah haram.


Pengalaman Sidek diceritakan seorang teman yang terkejut mendengar mengenai mimpi itu. Apabila teman berkenaan bertanya kenapa Sidek memberitahunya perkara itu, alasannya, beliau mahu seseorang yang boleh dipercayai mengetahuinya.

Sidek memberitahu, sehingga kini, bayangan rakan sepejabat yang hadir dalam mimpinya itu jelas di mindanya. Beliau tidak menceritakan perkara berkenaan kepada sahabat yang memesan doa itu.

Bagi Sidek, keputusan itu diambil kerana tidak mahu mengeruhkan lagi hubungan antara mereka yang tidak dinafikan memang tidak mesra sejak dulu. Tetapi sejauh mana kebenaran kita mengenai ilmu hitam itu, tidak dapat dipastikan.

Justeru, bagi Sidek itu tindakan terbaik untuk dirinya dan dua rakan sepejabatnya. Sebagai umat Islam, Sidek mengharapkan kemelut yang melanda kedua-duanya dapat diselesaikan dengan baik dan beliau akan terus berdoa demi kesejahteraan mereka.

Bagi teman Sidek yang mengetahui perkara itu, beliau juga mengikut jejak langkah Sidek untuk mendiamkan kisah yang diketahuinya itu. Bak kata pepatah, biar pecah di perut jangan pecah di mulut. Hakikatnya, memang sukar menyimpan rahsia tetapi jika itu yang terbaik, amanah hendaklah dijaga.

Hadis meriwayatkan Sabit daripada Anas. Kata Anas, "Pada suatu hari Rasulullah SAW menemui saya. Ketika itu saya sedang bermain dengan anak-anak. Baginda memberi salam, kemudian meminta saya menyelesaikan urusannya.

Disebabkan menyelesaikan urusan Rasulullah SAW itu, saya terlambat menemui ibu. Apabila menemui ibu saya, beliau bertanya: Apakah yang menghalang kamu sehingga terlewat menemuiKu? Saya menjawab: Saya diminta Rasulullah menyelesaikan urusannya.

 Ibu bertanya lagi: Apakah hajat Rasulullah itu? Saya menjawab: Itu adalah rahsia. Ibu berkata lagi: Jika begitu jangan sekali-kali kamu menyebarkan rahsia Rasulullah itu walau kepada sesiapa pun. Anas berkata lagi: "Demi Allah wahai Sabit! Jika saya membocorkan rahsia itu, pasti saya ceritakan juga kepada saudara berkenaan rahsia itu." (Riwayat Muslim)

Sebagai iktibar kepada kita, andainya kesan daripada apa yang hendak kita ceritakan itu akan menjurus kepada keadaan lebih buruk, sebaiknya ia didiamkan saja. Untuk umat Islam kita masih ada cara memperbaiki keadaan iaitu melalui doa supaya Allah SWT memberi petunjuk dan hidayah.

Post a Comment

0 Comments