Recents in Beach

Kelibat Roh Nana Baker Di Lihat Muncul Di Muzium Sungai Lembing

Loading...
Loading...
Susun atur perabot seperti almari hiasan dan katil di ruang bilik tidur dalam Muzium Sungai Lembing kira-kira 40 kilometer dari bandar Kuantan, Pahang kelihatan seperti biasa.

Ia memang bercita rasa Inggeris kerana muzium ini pada asalnya adalah kediaman pengurus besar lombong bijih timah Sungai Besi dari England.




Bagaimanapun, berada lama di sini, terasa ada sesuatu yang tidak kena seolah-olah diperhatikan orang yang tidak diketahui berada di sudut mana dalam dalam bilik ini.

Bilik tidur ini pernah digunakan pengurus besar lombong termasuk H.R.M Hodding yang menjawat jawatan itu sekitar tahun 1966 hingga 1974 ketika zaman kegemilangan Sungai Lembing sebelum menempuh peristiwa hitam seperti kebakaran bangunan kedai pada tahun 1921 dan bencana banjir besar pada tahun 1926.

Walaupun sebahagian besar perabot terutama katil dan almari dibuat semula meniru rekaan perabot asal, namun ia tidak berupaya mengikis aura dan semangat kolonial yang meresapinya.

Ketua Muzium Sungai Lembing, Rebiah Mohd Yusof turut mengakui bilik tidur ini banyak menghimpunkan kejadian paranormal kerana ada yang mendakwa terserempak dengan banyak kelibat misteri.


Katanya, petugas muzium juga sering diganggu panggilan telefon dan pada masa tertentu, beberapa peralatan seperti mesin taip, telegraf dan mesin kira-kira mengeluarkan bunyi sedangkan tiada sesiapa menyentuhnya.

Tiada siapa berani untuk mengesan atau mencari siapakah yang menggunakan mesin taip itu? Siapa pula yang menggunakan telefon dan siapa pula yang hendak dihubungi? Semuanya belum terjawab dan dibiarkan begitu saja dalam bangunan ini.

Adakah itu panggilan daripada VC Baker untuk adiknya, Nana? Siapa pula mereka itu.
"Saya turut mengalami kejadian telefon berdering beberapa kali, namun bila diangkat tiada suara di hujung sana.

Selain itu, ada juga yang mengadu pernah melihat jelmaan Nana Baker berkeliaran di sini dan lombong lama itu," katanya.

Penulis turut mengalami kejadian pelik apabila tiga foto bilik tidur dirakamkan melalui Ipad bertukar gelap walhal sebelumnya gambar itu terpampang jelas di skrin.

Suasana menyeramkan, pelik dan aneh di Muzium Lembing terletak di atas bukit ini adalah pada waktu siang. Bayangkan kalau berkunjung pada waktu malam.

Mungkin ini sesuatu yang boleh diteroka oleh pengembara paranormal untuk merasai sesuatu yang misteri dalam Muzium Sungai Lembing pada waktu malam.

Roh Nana Baker merayau-rayau?

Mendengarkan nama Nana Baker, mungkin ramai menggeleng kepala tidak tahu mengenainya, tetapi bagi penduduk Sungai Lembing, mereka cukup mengenali riwayat hidup perawan Inggeris ini.

Kononnya, sebelum pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941, gadis Inggeris ini berhijrah ke Pahang semata-mata mahu menemani abangnya, V.C Baker yang ketika itu bertugas sebagai pengurus besar lombong bijih timah Sungai Lembing.

Namun, tanpa disangka dia menempuh perjalanan pahit yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayatnya.

Sewaktu penaklukan Jepun, Nana bersama abangnya melarikan diri ke dalam hutan untuk mencari perlindungan. Ditakdirkan abangnya menemui ajal akibat serangan wabak penyakit dan meninggalkan Nana bersama kumpulan pengganas itu.

Sejak itu, jatuh bangun gadis berkenaan bersama sekutu berhaluan kirinya itu, malah dikatakan semakin ligat memperjuangkan ideologi songsangnya. Dia juga dikatakan bertanggungjawab menulis risalah subversif. Riwayat hidupnya turut dibukukan dengan tajuk Pai Naa: The Story Of Nana Baker hasil penulisan Dorothy Thatcher dan Robert Cross.

Empat galeri pameran

Pameran dalam Muzium Sungai Lembing diperincikan menerusi empat galeri. Galeri pertama mengemukakan pengenalan dan sejarah Sungai Lembing. Galeri kedua lebih kepada proses subterranean perlombongan juga faktor keselamatan pekerja.

Galeri ketiga menampilkan diorama terowong bijih, manakala galeri keempat mempamerkan mesin dan peralatan melombong yang digunakan buruh kilang Pahang Consolidated Company Limited (PCCL) pada waktu itu.


Mengitari seluruh ruang banglo yang suatu ketika dulu bergelar EB1 (European Banglo 1), pengunjung bagai berada di dalam dua lombong bijih timah Myah dan Taibeto yang pernah mendapat pengiktirafan lombong bawah tanah terbesar di dunia.

Rebiah berkata, diorama diilhamkan bagi memberi pemandangan terperinci dua lombong berkenaan yang kini tidak selamat lagi dikunjungi, apatah lagi dimasuki berikutan keadaannya yang sudah lama ditinggalkan dan ditenggelami air.

"Lombong Myah memiliki kedalaman 690 meter, manakala Taibeto mencecah 480 meter. Jarak antara satu tingkat dengan tingkat yang lain ialah 30 meter dan panjang keseluruhan terowong menjangkau 322 kilometer.

"Selain itu, kejadian hakisan dan tanah runtuh yang sering berlaku di bahagian dalam terowong juga boleh mengancam keselamatan pengunjung. Tidak dapat berkunjung ke situ, kami bawakan pengalaman seolah berada di tempat itu di sini," katanya namun memberitahu lombong Taibeto kini sudah dibuka kepada umum, tetapi membabitkan kawasan berdekatan pintu terowong saja.

Bilik tahanan tentera Jepun

Menurut Rebiah, sebelum pembukaan muzium berkenaan pada 23 April 2005, seorang lelaki mendakwa dirinya H.R.M Hodding datang bertemunya dan membongkar rahsia bilik kecil di tingkat bawah banglo sebagai sel tahanan penentang Jepun.

"Hodding ketika itu sudah uzur dan terlalu tua. Walaupun tak sihat, dia sanggup datang jauh dari England semata-mata ingin mengimbau kembali nostalgia ketika menetap di banglo ini.

"Dalam pertemuan itu, beliau sempat mendedahkan bilik kecil dan pengap itu pada asalnya menempatkan bilik air, namun diubah suai menjadi penjara tahanan tentera Nippon pada Perang Dunia Kedua," katanya mengenai banglo atas bukit rekaan kolonial vernakular yang juga berperanan sebagai markas tentera lebih 70 tahun silam.

Katanya, selepas itu Hodding tidak pernah datang lagi, malah terpaksa menolak jemputan menghadiri majlis perasmian muzium disebabkan faktor kesihatan yang semakin merosot.

Sewaktu meninjau bilik gelap dan kurang udara itu, tidak semena-mena bau hancing menerpa hidung. Malas mengambil kisah, penulis cuba memberi fokus kepada penerangan Rebiah dan sesekali mencatat maklumat penting.

Namun, bau itu semakin menyengat tetapi selepas dimaklumkan tempat itu dulunya berfungsi sebagai penjara menempatkan tawanan malah di situ juga tahanan dikatakan membuang air kecil dan besar, penulis segera faham kenapa bau tidak enak itu masih melekat di situ.

 Atau, mungkin juga disebabkan terlalu menghayati cerita, membuatkan fikiran ini terbayang perkara lalu yang pernah wujud?

Post a Comment

0 Comments