Recents in Beach

Bahu Terasa Berat Selepas Mandikan Jenazah

Loading...
Loading...
Seorang lelaki saudara baharu telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa tahun lalu akibat satu kemalangan. 


Pihak Hospital Kuala Lumpur diminta menguruskan, memandikan dan mengkafankan jenazah. Petugas yang menguruskan jenazah sebenarnya tiada masalah untuk menguruskan sesiapa sahaja yang meninggal dunia di HKL.

Namun apabila membabitkan jenazah mualaf ini, timbul sedikit masalah kerana keluarga dan rakan mahu menguruskannya mengikut kepercayaan agama asal mereka, sedangkan kakitangan HKL tidak membenarkannya kerana jenazah ini adalah seorang Muslim.

Berikutan itu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan HKL, Mohd Nazar Ibrahim, 47, yang biasa mengetuai urusan mandi jenazah terpaksa dipanggil. Setelah melihat 'kumpulan' si mati yang ramai dan ada yang berbadan besar, selain mahu mengelak kekecohan di perkarangan HKL, Mohd Nazar membuat keputusan menemui bapa si mati.

Keluarga bantu urus jenazah

"Encik boleh buat upacara ikut cara agama encik selama 30 minit. Lepas itu encik serah kepada kami untuk dimandi dan dikafankan. Saya mahu pergi sembahyang sekejap," kata Mohd Nazar. Bapa si mati bersetuju dengan syarat itu dan rakan si mati yang lain juga akur.

Selepas setengah jam, Mohd Nazar datang semula dan bertanya sama ada mereka sudah selesai melakukan upacara berkenaan dan mereka meminta tambahan 15 minit lagi.

Setelah selesai, jenazah itu dibawa ke bilik mandi jenazah. Sekali lagi keluarga si mati meminta izin untuk ikut dan melihat cara jenazah itu dimandikan. Malah Mohd Nazar meminta anggota keluarga mengangkat mayat ke tempat mandi dan membenarkan mereka menggosok badan jenazah ketika dimandikan.

Terap unsur dakwah

Beliau juga menerangkan kepada mereka fungsi kapur barus dan serbuk cendana. Mereka berasa kagum melihat cara umat Islam menguruskan jenazah dengan lemah lembut dan tertib. Mereka sendiri melihat kuku dan najis jenazah dibersihkan.

Selesai jenazah dimandikan, keluarga si mati begitu gembira dan mengucapkan terima kasih kepada Mohd Nazar dan pembantunya. Mereka juga meminta izin untuk ke tanah perkuburan di Gombak dan Mohd Nizar membenarkan keluarga si mati menaiki kereta jenazah.

Oleh kerana amat berpuas hati, bapa si mati juga bermurah hati menghulurkan sedikit sagu hati kepada Mohd Nazar.

Sebenarnya, kata beliau, dalam menguruskan jenazah, ada unsur dakwah kerana setiap tindak-tanduk akan menjadi perhatian dan contoh teladan (dakwah bil hal).

Sikap tolak ansur dan tindakan berhemah Mohd Nazar dapat menyelesaikan masalah yang timbul dengan baik tanpa kekecohan dan campur tangan pihak luar. Cara menguruskan jenazah dengan baik dan tertib dapat menambat hati orang bukan Islam.

Menurut Mohd Nazar , insiden itu adalah satu daripada cabaran ketika menjalankan tugas, khususnya kes membabitkan jenazah saudara baharu. Bagi penganut agama Hindu dan Sikh, mereka begitu mengambil berat soal kematian anggota keluarga.

 Bagi kaum Cina, jarang mereka menuntut mayat kerana mungkin urusan pengebumian menelan kos yang besar.


Bagi masyarakat Melayu pula, ada juga berlaku perebutan jenazah.

Pernah berlaku, sebaik saja seorang lelaki meninggal dunia, tiba-tiba datang tiga isteri mahu menuntut mayatnya. Ketika itu baharu diketahui si mati ada tiga isteri.

"Kami akan bertanya dengan siapa si mati tinggal lama dan sehingga meninggal dunia. Isteri berkenaan akan beri keutamaan mengambil jenazah suami," ujar Mohd Nazar.

Selesai perebutan

Sekiranya ada perebutan di antara isteri dan ibu, si isteri akan diutamakan. Sekiranya ada tuntutan antara datuk, cucu dan anak lelaki, anak lelaki akan diutamakan, katanya.

Selain itu jika ada tuntutan beberapa pihak, pihak yang dapat memaklumkan bahawa mereka sudah menyediakan tanah perkuburan berhampiran, mereka akan diberikan keutamaan kerana dapat menyediakan 'tanah kubur' .

Ada juga kes yang menyedihkan iaitu mayat tidak dituntut oleh keluarga, terutama mangsa kes HIV.

Mohd Nazar menceritakan hanya empat orang sahaja menguruskan satu jenazah yang tidak dituntut keluarga, termasuk beliau ketika mengurus, memandi dan mengkafankan, manakala seorang lagi ketika mengebumikannya. Agak pelik juga, ada penjaga tanah perkuburan tidak membenarkan jenazah HIV dikebumikan di kawasan berkenaan.

Selain pesakit berisiko, beliau juga berdepan gangguan makhluk halus.

 Pernah bahunya berasa begitu berat selepas memandikan jenazah seseorang. Apabila berjumpa dengan rakannya seorang ustaz, rakannya itu menyatakan ada 'benda bertenggek' di badannya dan rakan itu membantu membuangkannya.

Beliau juga menasihatkan sesiapa yang hendak memandikan jenazah supaya berwuduk dulu dan apabila selesai, hendaklah mereka mandi.

Selain menjalankan tugas memandikan jenazah, Mohd Nazar yang bertugas selama enam tahun di HKL, juga menjadi penceramah tetap kursus urusan jenazah pada hari Sabtu sebulan sekali di Masjid Negara, selain Masjid Sultan Mizan dan Masjid Putra, Putrajaya.

Beliau juga mengadakan kursus untuk kakitangan hospital dan pusat kesihatan bagi membimbing dan menasihati pesakit Islam bagaimana melakukan ibadat, khususnya solat.

Mohd Nazar yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang, mempunyai seorang isteri dan dua anak berusia sembilan dan 12 tahun. Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis dan Tingkatan Enam di Kuliah Sultan Abu Bakar, Pekan.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), seterusnya di Kolej Darul Hikmah (Diploma Psikologi) dan Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang dakwah dan kepemimpinan.

Post a Comment

0 Comments