Recents in Beach

Bapa Sukar Terima Hakikat Tragedi Nahas Helikopter Menimpa Gadis Kyrgyzstan

Loading...
Loading...
Duta Kyrgyzstan ke Malaysia, Kylychbek Sultanov menghadapi tragedi kali kedua dalam hidupnya selepas isterinya meninggal dunia dalam kemalangan keretapi semasa Aidana Baizieva baru 8 tahun. 

Ketika tersebar berita mengatakan anak perempuannya berkemungkinan salah satu penumpang dalam nahas helikopter di Semenyih, pada Sabtu, bapa mangsa, Aidana Baizieva sukar untuk mempercayainya.
Itu adalah tragedi kedua menimpa keluarganya, apabila pada 1998, isterinya, ibu kepada Baizieva meninggal dunia dalam kemalangan keretapi. Baizieva baru berusia 8 tahun ketika itu.
Duta Kyrgyzstan ke Malaysia, Kylychbek Sultanov hari ini berkata kepada The Malaysian Insider, bapa penumpang malang itu kini masih cuba menerima hakikat tragedi berkenaan.

"Ya, kami maklumkan kepada keluarga di Kyrgyzstan... dia (bapanya) sudah dimaklumkan, tetapi sukar baginya menerima berita itu, sebaliknya percaya Baizieva masih hidup," katanya, yang enggan mendedahkan nama lelaki itu.
Kedutaan itu katanya, bekerjasama dengan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti 6 penumpang helikopter tersebut, setakat ini berkeyakinan DNA yang diambil adalah milik Baizieva.
"Apa yang kami tahu ibunya meninggal dunia ketika dia
berusia 8 tahun dalam kemalangan keretapi di Kyrgyzstan. Sebab itu bapanya, tidak dapat menerima hakikat apa yang berlaku. Baizieva adalah anak tunggalnya," katanya.
Sultanov berkata, kali terakhir bapanya menemui anak perempuannya itu adalah 3 bulan lalu ketika melawatnya di Kuala Lumpur.
Setakat ini, berdasarkan maklumat yang diperolehi, Baizieva dipercayai mengenali juruterbang helikopter tersebut dan sedang mengambil latihan penerbangan bersamanya.
Beliau turut mengesahkan polis juga pergi ke apartmen wanita itu di Pantai Dalam dan mengambil sampel rambut dan kuku untuk membantu siasatan.
"Semalam, polis di apartmennya, mereka menemui rekod menunjukkan dia sedang belajar asas penerbangan dan berminat menjadi juruterbang helikopter," katanya.
Beliau turut mengesahkan, kakak tiri Baizieva datang ke rumah mayat Hospital Kuala Lumpur semalam bersama pegawai kedutaan untuk proses pengecaman.
"Polis kini mahu melakukan ujian DNA, untuk memadankan dengan sampel sedia ada," kata Sultanov, dan menambah, Baizieva pernah bekerja di restoran Barat selepas menamatkan pengajian di SEGi Universiti tahun lalu.
Kedutaan juga katanya menemui beberapa rakan wanita itu namun tidak dapat mengumpul maklumat lengkap kerana mereka masih bersedih atas insiden tersebut.
"Maklumat ini kami perolehi daripada rakan-rakannya semalam, namun mereka tidak mampu memberikan banyak maklumat," katanya.
Kedutaan juga katanya sedang berusaha mendapatkan kebenaran keluarga untuk menyiarkan gambar wanita itu bagi menjelaskan beberapa laporan di media. – 7 April, 2015.

Post a Comment

0 Comments