Recents in Beach

Mayat warga Bangladesh masih sempurna walau lama tak dituntut

Loading...
Loading...
Mayat warga Bangladesh masih sempurna walau lama tak dituntut
BERMACAM-macam latar belakang manusia diuruskan oleh skuad pengurusan jenazah, tanpa mengira usia, jantina atau bangsa.
Siapa pun si mati, setiap jenazah mempunyai kisah tersendiri dan skuad menjalankan tanggungjawab menguruskannya sehingga ke liang lahad.
"Usia hidup ibarat menarik seutas tali dalam kegelapan. Tidak kita ketahui di mana hujungnya. Boleh jadi saat kita sedang seronok menariknya. Kita sudah pun di penghujung tali. Demikianlah hidup."

Demikian perkongsian Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJ Malaysia), Muhammad Rafieudin Zainal Rasid di halaman Facebook.


Ustaz Rafie (kiri) bersama seorang petugas menguruskan jenazah.
Beliau menceritakan tentang pasukannya selesai menyempurnakan satu jenazah lelaki warga Bangladesh yang telah meninggal dunia pada 13 Julai lalu.
"Arwah tidak dapat disempurnakan kerana masalah ketiadaan waris di Malaysia.
"Alhamdulillah walaupun sudah lebih seminggu disimpan di dalam peti beku mayat, jenazahnya masih lagi elok dan sempurna," katanya.
Berkongsi pengalaman itu kepada mStar, Muhammad Rafieudin berkata, warga Bangladesh berkenaan berusia 42 tahun dan meninggal dunia selepas mengadu sakit dada.
Lebih dikenali sebagai Ustaz Rafie, beliau memberitahu, jenazah akan disimpan dalam peti sejuk di hospital selagi tiada tuntutan dibuat oleh waris.
"Kalau dalam peti, tempoh tujuh hingga 14 hari biasanya mayat akan mula mengecut. Kalau di luar, dalam satu hinga dua hari dah mula mereput," katanya tanpa mengulas lanjut mengenai butiran peribadi arwah.


Van jenazah dan kenderaan petugas Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia.
Bagaimanapun keadaan jenazah yang masih elok dan sempurna itu bukan sesuatu yang mengejutkan buatnya yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam menguruskan jenazah.
Ustaz Rafie mendedahkan arwah yang masih bujang itu melakukan kerja-kerja sukarelawan dengan membersihkan kawasan surau.

Saya terdengar suara tangisan dari jauh. Saya sebak memikirkan situasi yang perlu dilalui oleh ahli keluarga mereka.

MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID

Maka tidak hairanlah baginya menyaksikan sendiri keadaan jenazah yang begitu elok dan sempurna itu.
"Bagi saya itu keadaan biasa. Jenazahnya baik mungkin sebab Allah muliakan arwah sewaktu hayatnya memang kuat berkhidmat di surau tempat tinggalnya.
"Jemaah surau tu kata lima waktu dia mesti ada," katanya, merujuk kepada arwah yang tidak pernah meninggalkan solat.


Pengebumian jenazah turut dihadiri rakan-rakan arwah senegara.
Namun, kata Ustaz Rafie, beliau berasa sebak ketika menguruskan pengebumian jenazah, selepas diberikan keizinan daripada waris arwah dari Bangladesh.
"Kawan-kawan arwah di sini buat panggilan video untuk keluarganya dari jauh mengikuti proses pengebumian jenazah.
"Saya terdengar suara tangisan dari jauh (tangisan keluarga arwah). Saya sebak memikirkan situasi yang perlu dilalui oleh ahli keluarga mereka," katanya sambil menambah salah satu faktor jenazah diuruskan tanpa keluarga, adalah disebabkan kekangan daripada kawalan pintu sempadan kedua-dua negara ekoran pandemik Covid-19.
Tambah beliau, jenazah diuruskan di Hospital Sungai Buloh sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9 di Kota Damansara, Selangor untuk dikebumikan pada Isnin.
"Alhamdulillah, jenazah berjaya disempurnakan dalam tempoh yang singkat. Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Amin," katanya.

Post a Comment

0 Comments